Beego atau nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, berkata, dia dan isterinya pelakon Linda Hashim merancang untuk melakukan majlis tersebut di kampung halamannya di Johor Bahru.
"Persiapan saya dan isteri sederhana sahaja. Kami sudah siapkan awal-awal lagi iaitu ketika Linda mengandung. Sekarang sibuk beli baju dan persiapan Jelita sahaja.
"Jelita kini sudah masuk dua bulan lebih dan kami juga rancang untuk adakan majlis cukur jambul di Johor pada Hari Raya nanti," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Beego berkata, dia berasa lega apabila ibunya menawarkan diri untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi menjaga Jelita.
Dia dan Linda berat hati untuk meninggalkan anak perempuannya itu di bawah jagaan pembantu rumah ketika mereka keluar bekerja.
"Ibu saya akan bersara tidak lama lagi dan dia menawarkan diri untuk membantu jaga Jelita sementara masih kecil ini dan Linda ingin kembali bekerja.
"Hati saya lega dan berbesar hati kerana saya dan isteri tidak mahu Jelita dijaga dengan orang lain, terutama bila kes-kes penderaan bayi banyak dipaparkan di media," ujarnya.