expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, May 19, 2014

BUKU PERTAMA MH370

Buku pertama mengenai MH370 dakwa pesawat ditembak jatuh
May 19, 2014
KUALA LUMPUR: Sebuah buku yang baru diterbit mendakwa penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, ditembak jatuh secara silap semasa satu operasi ketenteraan. Buku yang berjudul “Flight MH370: The Mystery” mula berada di pasaran hari ini dan merupakan buku pertama yang mengisahkan tentang kehilangan pesawat berkenaan. Lapor laman berita news.com.au, buku berkenaan ditulis oleh Nigel Cawthorne yang sebelum ini pernah menulis 150 buku.
Menurut buku berkenaan, pesawat MH370 ditembak secara tidak sengaja ketika satu operasi ketenteraan diantara Amerika Syarikat dan Thailand.

Cawthorne berkata, kesilapan mungkin telah ditutup kerana pihak berkuasa tidak mahu wujud satu serangan balas. Data yang menghantar carian ke arah yang lain - pertama ke Selat Melaka dan kemudian ke Selatan Lautan Hindi - hanyalah satu muslihat dakwanya.

Seorang lagi penulis, Christine Negroni yang sebelum ini menghasilkan buku ‘Deadly Departure’ juga akan menulis tentang penerbangan Malaysia MH370 berjudul ‘Crashed’.

Sementara itu, dua filem yang diilhamkan tentang kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sedang berusaha mendapatkan pembeli di Festival Filem Cannes, dua bulan selepas penerbangan itu hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Bakal pembeli mendapat peluang untuk menonton “A Dark Reflection” oleh Fact Not Fiction Films pada satu “tayangan” pada hari Isnin, menurut iklan satu muka surat yang diterbitkan di dalam jurnal hiburan The Hollywood Reporter.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu.

Kurang sejam selepas ia berlepas, pesawat malang itu dilaporkan hilang dan pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Susulan itu juga satu laporan awal tragedi MH370, yang antara lain mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, senarai kargo dan senarai penumpang pesawat itu, telah dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada awal bulan ini.