Satu musibah melanda penuntut Malaysia di Universiti Padjadjaran, Bandung apabila diculik dan dirogol oleh tiga lelaki, Jumaat lalu.
Penuntut berusia 20 tahun itu dirogol dalam kereta sebelum ditinggalkan dan ditemui orang ramai jam 3 pagi Sabtu di parkir RM Grafika, Tangkuban Perahu.
Sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar untuk ke mesin ATM berhampiran kampusnya yang terletak di Jatinangor Sumedang sekitar jam 8 malam untuk mengeluarkan wang.
Ketika melalui satu lorong sunyi dia dipanggil seseorang yang tidak dikenali namun tidak diendahkan.
Mangsa kemudiannya ditarik ke dalam kereta sebelum dirogol secara bergilir-gilir sepanjang perjalanan. Menurut mangsa, terdapat empat lelaki dalam kereta tersebut dan hanya pemandu yang tidak menyentuhnya.
Ketua Polis Cimahi, Erwin Kurniawan (gambar) berkata mangsa kini dirawat di Hospital Hasan Sadikin, Bandung.
Pihak universiti dikhabarkan sudah memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa Malaysia dan keluarga mangsa yang bergegas ke Bandung sebaik mengetahui perkara ini.
– REM RAMZ