expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, June 26, 2014

PENGURUS MINTA ZIZAN RAZAK BUKTIKAN PENYELEWENGAN



Mungkin ramai yang telah mengetahui kontroversi terbaru pelawak tersohor negara, Zizan Razak yang dikatakan menghadapi masalah peribadi dengan pengurusnya sehingga dia mengambil tindakan membekukan wang syarikat.

Zizan dilaporkan telah membekukan akaun syarikatnya, Wire Fame Entertainment dan hal tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati artis di bawah naungan syarikatnya itu. 

Zizan yang memegang 70% saham syarikat berkenaan bertindak membekukan akaun tersebut atas alasan pengurus dan juga rakan kongsinya telah menyeleweng wang syarikat tersebut.

Lantaran itu, pengurus Zizan iaitu Marina Juki telah tampil bagi menolak segala dakwaan Zizan. Wanita itu telah meminta Zizan agar mengemukakan bukti bahawa dia telah menyelewengkan wang syarikat seperti yang didakwa Zizan sebelum ini.

Dalam sidang media khas di hotel Holliday Villa, Marina juga menegaskan bahawa berdasarkan maklumat daripada juruaudit Wire Fame, Azlan Karim setakat ini tiada sebarang penyelewengan berlaku dalam syarikat itu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa tiada sebarang penyelewenganyang berlaku dalam syarikat sama ada daripada pihak saya mahupun Zizan. Saya tak faham kenapa dia menuduh saya berbuat demikian sampai membekukan akaun syarikat tanpa persetujuan saya. Diharap dia dapat bersemuka dengan saya dan tunjukkan bukti bahawa saya menyeleweng wang syarikat itu," kata Marina

"Dua akaun syarikat telah pun dibekukan sejak 4 Jun lalu atas arahan Zizan sendiri tanpa sebarang persetujuan daripada saya. Perkara ini membuatkan Johan As’ari dan Kaka yang bernaung di bawah syarikat ini terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis USJ8 Subang Jaya berhubung bayaran mereka yang tersangkut," tambahnya.

"Kami berharap agar kenyataan ini dapat menjawab segala isu yang timbul dan kami juga berharap agar Zizan akan meluangkan sedikit masa bersama kami untuk menyelesaikan kemelut ini secara baik dan profesional.” jelas Marina lagi.

Dalam sidang media itu Marina hadir bersama juruaudit syarikat berkenaan, Azlan, peguam Wire Fame, Sashalyna Abdul Latif serta peguam Marina, Harjit Singh Sandhu dan Wan Norliyana.