expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, August 2, 2014

NORANIZA IDRIS TIDAK IZIN LAGU TRADISIONAL DISUNTIK IRAMA RAP


PETALING JAYA – Penyanyi Noraniza Idris tidak mahu lagu-lagu asli terutama nyanyiannya diberi nafas baharu dengan memasukkan elemen rap seperti yang sering dilakukan penyanyi kini.

Noraniza, 46, berkata, dia enggan orang ramai keliru dengan hala tuju lagu-lagu iramaMalaysia yang diperjuangkan selama ini.

“Saya takut lagu saya dimasukan elemen rap kerana tidak mahu orang ramai keliru tentang hala tuju saya yang selama ini memperjuangkan tentang irama Malaysia.

“Bukan saya tidak suka rap, saya suka lagu-lagu rap sebagai nafas baru dalam industri muzik kita tetapi bila ia menyentuh soal kerjaya saya, saya perlu fikir banyak kali untuk itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Sementara itu, Noraniza berkata dia juga melihat lagu-lagu tradisional yang diberi nafas baharu atau dimasukkan genre rap akan menjadi sebagai lagu semasa semata-mata.

Katanya, lagu itu bukan sahaja hilang keaslian, malah ia tidak akan kekal lama dalam industri muzik.

“Bila ada unsur rap orang yang dengar hanya akan dengar sebab lagu itu popular dan ia tidak kekal lama.

“Pendengar tidak mahu tahu pun tentang lagu asli tersebut, mereka hanya dengan sekejap sahaja ketika lagu itu sering dimainkan di radio.

“Kalau boleh saya mahu lagu irama Malaysia kekal dan boleh dijadikan panduan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Noraniza mengakui tidak ramai artis baharu yang boleh menyanyikan lagu irama Malaysia dengan baik.

Katanya, ia merupakan salah satu punca lagu genre berkenaan semakin kurang mendapat perhatian golongan remaja.