expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, December 28, 2014

SOROTAN PERKAHWINAN ARTIS TEMPATAN SEPANJANG 2014


2014 yang bakal melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi pastinya akan meninggalkan pelbagai episod suka duka yang terpalit dalam kenangan kita semua.

Dalam kegemparan kita yang dikejutkan dengan tragedi MH370 dan MH17 serta bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di tanah air, ada juga yang melakar tahun 2014 sebagai memori indah yang terpahat dalam kenangan.

Dalam dunia industri hiburan tempatan, ramai juga artis yang menjadikan tahun 2014 sebagai tahun pengikat hubungan percintaan. Di kesempatan ini, mari kita sorot kembali perkahwinan selebriti tanah air yang berlangsung di sepanjang tahun 2014:


Sharifah Aleya & Miko
-11 Januari 2014-


Majlis pernikahan kali kedua buat penyampai radio, Sharifah Aleya dengan Muhammad Azam Abdullah atau Miko, telah selamat berlangsung pada 11 Januari 2014.

Dalam majlis itu, Aleya, 31, menerima mas kahwin sebanyak RM300 beserta hantaran sejumlah RM3,000.

Majlis menyambut menantu pula telah didakan kampung Miko di Sabah pada 23 Mac 2014 dengan mengikut adat suku kaum Bajau dan kedua mempelai kelihatan unik dengan menggayakan pakaian tradisi suku kaum itu

Syanie Hisham & Nadi Putera
-01 Mac 2014-


Dengan sekali lafaz, pelakon dan pelawak Syanie Hisham, 39, sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya Nadi Putera Mohammad Zainol, 27, di Sandy Beach Resort, Langkawi pada 1 Mac 2014.
Majlis yang diadakan secara sederhana tetapi meriah itu telah dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan daripada kedua-dua belah pihak. 
Syanie juga hanya menerima mas kahwin sebanyak RM5000 beserta dulang hantaran sebanyak 7 berbalas 5.


Syamsul Yusof & Puteri Sarah Liyana
-08 Mac 2014-


Tanggal 8 Mac 2014, pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30, akhirnya sah bergelar suami kepada aktres Puteri Sarah Liyana, 29, dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al Mukarramah, Sri Damansara. 

Majlis pernikahan berlangsung dengan lancar walaupun Syamsul masih lagi dalam keadaan kurang sihat akibat penyakit demam denggi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah kira-kira pukul 10.30 pagi. Puteri Sarah yang diwalikan oleh bapanya Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin menerima mas kahwin sebanyak RM1,111.

Majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam tersebut pula telah ditunda berikutan keadaan kesihatan Syamsul.

Majlis menyambut menantu pula diadakan pada 18 April di Dewan Perdana Felda dan 20 April di kediaman pengantin lelaki di Taman Melawati. 


Radhi OAG & Nur Shahira Ayu Zahiri
-04 April 2014-


Pernikahan kali kedua bagi penyanyi Radhi OAG dan pasangannya Shahira Ayu telah berlangsung pada tarikh keramat 4 April 2014 (4.4.14).

Radhi OAG, 37 atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali sah bergelar suami kepada model sambilan bernama Nur Shahira Ayu, 20 dengan sekali lafaz sahaja.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Imam Besar Masjid, Ustaz Mohd Firdaus Subhi dengan berwakil wali bapa pengantin perempuan, Zahiri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. 

Dalam majlis tersebut, Nur Shahira Ayu menerima mas kahwin berjumlah RM300 berserta wang hantaran sebanyak RM30,000.

Fizz Fairuz & Almy Nadia
-26 April 2014-


Setelah sekian lama menjalin hubungan cinta, aktor kacak Fizz Fairuz akhirnya selamat menjadi suami kepada pelakon jelita Almy Nadia. 

Majlis pernikahan kedua pelakon ini telah selamat berlangsung pada hari Sabtu, 26 April 2014 di Pulau Pinang,
Walaupun dilanda pelbagai kemelut dalam hubungan mereka sehingga pernah putus seketika di tengah jalan, namun ternyata Fizz dan Almy memang telah ditakdirkan bersama. 

Dalam majlis ini, Almy Nadia menerima wang hantaran sebanyak RM20,000, mas kahwin sebanyak RM1,001 berserta 9 dulang hantaran dan membalas 11 dulang hantaran untuk Fizz.

Misha Omar & Firos Ezzuwan Rossly
-02 Mei 2014-

  
Penyanyi popular, Misha Omar akhirnya memilih tarikh 2 Mei 2014 untuk melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya Firos Ezzuwan Rossly. 

Menurut penyanyi lagu berhantu 'Pulangkan' itu, tarikh tersebut menjadi pilihannya untuk memenuhi permintaan ibunya yang mahu majlis itu diadakan pada bulan Rejab. 

Majlis akad nikah diadakan negeri kelahiran Misha yang bertempat di Hotel Renaissance Kota Bahru, Kelantan pada sebelah pagi. 

Majlis resepsi pasangan ini pula telah dilangsungkan dengan meriah pada sebelah malamnya bertempat di hotel yang sama.

Ruminah Sidek  & Al Fatah Rahim
-17 Mei 2014-


Percintaan di usia emas akhirnya telah membawa pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, ke jinjang pelamin dengan pasangannya, Al Fatah Rahim, 70.
Dengan sekali lafaz akad sahaja, Ruminah atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Mah sah bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu.

Majlis akad nikah antara pasangan ini telah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As-Syarif, Mohd. Jani Salman di rumah abang ipar Ruminah di Taman Berkat, Meru.


Tengku Azura & Ramelle Ashram
-25 Mei 2014-


Supermodel Malaysia yang terkenal, Tengku Azura, 39 telah pun selamat bergelar isteri kepada Ramelle Ashram, 35 pada tarikh 25 Mei 2014. Ramelle Ashram adalah adik Jejai, iaitu suami kepada pelakon Fasha Sandha.

Mereka berdua telah berkenalan selama 2 tahun setengah sebelum mengambil keputusan untuk memeterai ikatan perkahwinan.

Majlis pernikahan pasangan ini telah diadakan secara ringkas dengan para tetamu yang hadir terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat sahaja. 

Perkahwinan dengan Ramelle ini merupakan perkahwinan kedua bagi Tengku Azura yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga.


Wan Zack Haikal & Nur Shahifa
-30 Mei 2014-


Pemain bola sepak sensasi tanahair, Wan Zack Haikal telah menamatkan zaman bujangnya pada tanggal 30 Mei 2014. 

Majlis pernikahan Wan Zack yang berusia 23 tahun dan pasangannya Nur Shahifa telah berlangsung di Masjid Kampung Pengkalan Pandan, Kemaman.

Majlis persandingan pasangan ini pula turut dilangsungkan di Terengganu iaitu bertempat di Puteri Foodcourt, Bukit Mentok, Kemaman.


Jimmy Shanley & Mariam Jamilah
-07 Jun2014-


Hanya dengan sekali lafaz, pengacara dan penyampai radio Ultra FM, Jimmy Shanley sah bergelar suami kepada Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Concorde, di sini pada 7 jun 2014. 

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, memberikan mas kahwin bernilai RM1,000, wang hantaran sebanyak RM15,000 dan 5 dulang hantaran yang dibalas dengan 7 dulang oleh pihak perempuan. 

Majlis pernikahan antara pasangan ini turut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Jimmy dilihat menitiskan air mata dan menangis ketika membacakan lafaz taklik di hadapan bapa pengantin perempuan selepas sah bergelar suami. Perkahwinan ini merupakan yang kedua bagi Jimmy setelah perkahwinan pertamanya menemui kegagalan.


Jaclyn Victor & Shawn Rivera
-19 Julai 2014-


Dunia seni tanah air dikejutkan dengan pengumuman yang dibuat oleh penyanyi terkenal Jaclyn Victor bahawa dia telah berkahwin dengan salah seorang anggota kumpulan R'n'B terkenal, AZ Yet, iaitu Shawn Rivera pada 19 Julai lalu.
Majlis perkahwinan mereka telah berlangsung di sebuah gereja di Philadelphia, Amerika Syarikat dengan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Perkenalan antara Jac dan Shawni telah bermula sejak lebih setahun yang lalu dan Shawn telah melamar Jac pada bulan Ogos 2013.

Jac yang telah berteka-teki tentang majlis perkahwinannya dan pernah memaklumkan akan melangsungkan perkahwinan pada bulan September bagaimanapun telah membuat kejutan dengan pengumuman tersebut yang dibuat pada sidang media di Istana Budaya.


Atilia & Adam Sofian Mazlan
-31 Ogos 2014-


Penyanyi Atilia telah melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Adam Sofian Mazlan setelah 7 tahun hidup menjanda. 

Majlis pernikahan antara pasangan ini telah berlangsung pada 31 Ogos 2014 di Saujana Gold & Country Club. 

Dalam majlis pernikahan Atilia yang diadakan secara kecil-kecilan itu, kira-kira 160 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga dan teman rapat telah menghadirinya.

Eina Azman & Datuk Paduka Kaiser Gurmit Harden
-31 Ogos 2014-


Pelakon drama popular Eina Azman, 19, telah sah bergelar isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmit Harden, 35, dengan 2 kali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Azman Abdullah tepat jam 9.03 malam pada 31 Ogos 2014.

Upacara akad nikah itu disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkapili Abdul Mutalib serta abangnya. 

Dalam majlis pernikahan ini juga, Eina atau nama sebenarnya, Cik Ainur Syakina, menerima mas kahwin sebanyak RM770. 


Alif Satar & Sha Dila
-15 September 2014-


Penyanyi dan pengacara, Alif Satar telah sah bergelar suami kepada Sha Dila dengan sekali lafaz dalam majlis yang telah diwalikan oleh bapa kandung Sha sendiri iaitu Halid Bin Mohamad.

Pernikahan pasangan ini berlangsung dalam majlis serba sederhana di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Dalam majlis itu juga, Sha Dila telah menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan juga wang hantaran sebanyak RM19,000.

Majlis yang diadakan secara tertutup ini telah dihadiri oleh ahli keluarga serta teman-teman rapat kedua belah pihak.


Alyph (Sleeq) & Azzah
-13 September 2014-


Dengan hanya sekali lafaz, anggota Kumpulan SLEEQ iaitu Alyph sah bergelar suami kepada pasangannya, Azzah tepat jam 11.30 pagi 13 September 2014. 

Majlis pernikahan Alyph dan Azzah ini telah berlangsung di Flower Dome, Gardens by the Bay, Singapura.


Farhan AF & Ahmad Rashadan
-10 Oktober 2014-


Bintang Akademi Fantasia, Nurfarhan Azizan, 30, sah menjadi isteri kepada Ahmad Rashadan Mohamad Suhaimi, 30, pada kira-kira jam 10.15 pagi 10 oktober 2014.
Pernikahan pasangan ini berlangsung dalam majlis yang ringkas dan sempurna yang telah diadakan di Masjid Al Hasanah Bangi. 

Kedua mempelai telah dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam, Zainal Abidin Yusof dengan berwalikan bapa pengantin perempuan iaitu Azizan Mohd Khir.

Farhan menerima mas kahwin sebanyak RM300, 7 dulang hantaran dari pihak lelakidan membalas dengan 9 dulang hantaran dari pihak perempuan.


Erin Malek & Farriz Fauzy
-10 Oktober 2014-


Pelakon Erin Malek sah bergelar isteri pada Farriz Fauzy  dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada 10 Oktober 2015.
Erin yang yang pada awalnya telah merancang untuk bernikah pada 10 Januari 2015 telah mempercepatkan tarikh nikahnya dan selamat dijabkabulkan tepat jam 9.13 malam.
Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Yusof dengan berwalikan bapa Erin sendiri iaitu Abdul Malek Mari.



Elly Mazlein & Azmi Hatta
-09 November 2014-


Pelakon & penyanyi Elly Mazlein, 34, sah bergelar isteri kepada pengarah drama dan filem, Azmi Hatta, 39, dengan dua kali lafaz pada 9 November 2014

Majlis resepsi yang sepatutnya diadakan di sebuah dewan indah di sebuah resort padang golf di ibu negara telah diubah menjadi sebuah majlis pernikahan serba ringkas yang akan diadakan di Surau As Sakinah, Puchong.

Pemilihan surau berkenaan juga adalah kerana pusara arwah ibu Elly Mazlein yang telah meninggal dunia pada Mei lalu terletak berdekatan.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Hanafi Syed Abdullah dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Taman Putra Perdana, Ahmad Baie Jaafar. 

Elly menyerahkan 9 dulang  hantaran dan dibalas 7 dulang oleh suaminya. Elly juga menerima mas kahwin RM300 dan wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya.


Syarif Sleeq & Malaque Mahdaly
-22 November 2014-


Penyanyi Kumpulan Sleeq iaitu Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Sharifah Malak Aimana Mahdaly atau Malaque Mahdaly, 25, pada 22 November di Alkaff Mansion,Singapura.

Pasangan ini mencipta kelainan dengan mengenakan busana indah bertemakan Arab yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal singapura, Lulu Alhadad.

Lebih menarik lagi, majlis pernikahan dan resepsi pasangan ini telah pun disiarkan secara langsung di laman web dan YouTube.

Syarif Sleeq menerusi laman Instagramnya telah membuat liveupdate dengan bantuan krew project2pi untuk gambar dan cstproduction untuk video.


Chef Riz & Shikin Maembong
-05 Disember 2014-


Selebriti Chef, Mohd Nadzri Redzuwan, 32, yang juga dikenali sebagai Chef Riz akhirnya sah bergelar suami kepada pasangannya, Shikin Maembong, 31, pada 05 Disember2014. 

Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal Malaysia, Chef Wan dinikahkan dengan Shikin Maembong yang merupakan kakak kepada pelakon jelita, Emma Maembong dalam satu majlis yang ringkas dan sederhana. 

Majlis serba sederhana itu hanya dihadiri oleh 200 orang tetamu daripada pihak keluarga lelaki dan perempuan serta teman terdekat. 

Ini merupakan perkahwinan yang kedua buat Chef Riz yang sebelum ini pernah berkahwin dengan aktres Ana Dahlia pada 11 Disember 2011, namun perkahwinan tersebut berakhir tidak sampai setahun.


Faralyna Idris dan Muhammad Fikri Abdullah
-12 Disember 2014-


Pelakon drama kecil molek, Faralyna Idris dan pasangannya Muhammad Fikri Abdullah sah bergelar suami isteri dalam majlis pernikahan yang telah berlangsung di atas kapal Cruise Tasik Putrajaya pada 12 Disember 2014.  

Dalam majlis tersebut, pihak pengantin lelaki dan perempuan masing-masing menghantar 5 dulang hantaran. 

Majlis resepsi Faralyna dan Fikri pula telah selamat berlangsung di Grand Ballroom The Place Once City, Subang Jaya,

Pasangan ini telah menjalin hubungan cinta selama 2 tahun dan mengikat tali pertunangan pada Mei lalu sebelum melangsung perkahwinan.


Datuk A Rahman Hassan & Fadilah Mansor
-25 Disember 2014-

Penyanyi veteran, Datuk A Rahman Hassan dan aktres Fadilah Mansor telah melangsungkan majlis pernikahan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 25 Disember 2014. 
Majlis pernikahan itu berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada kira-kira jam 8.30 malam dan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja. 
Majlis pernikahan serba sederhana sederhana pasangan ini telah dihadiri oleh kira-kira 400 orang tetamu 
Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kedua bagi mereka dan Datuk A Rahman Hassan menikahi Fadilah setelah isterinya, penyanyi Azizah Mohamad meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2013.


Yazer & Ekin
-26 Disember 2014-

Bintang Akademi Fantasia, Yazer dan Ekin akhirnya sah menjadi suami isteri pada 26 Disember 2014 setelah 8 tahun menyulam cinta 

Kalau sudah jodoh memang tak ke mana dan pasangan ini memang telah ditakdirkan bersama walaupun hubungan mereka pernah dilanda pelbagai masalah malah mereka pernah berpisah seketika. 

Akhirnya Yazer dan Ekin telah pun selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam majlis pernikahan yang diadakan di kampung Ekin di Kampung Bebuloh Laut, Wilayah Persekutuan Labuan.



Leez Rosli & Aepul
-27 Disember 2014-


Pelakon drama Rosliza binti Rosli, 27 atau lebih dikenali sebagai Leez Rosli dan pasangannya Noorsyaiful Md Zalaludin (Aepul Drama Band) telah selamat dinikahkan pada 27 Disember 2014.

Dengan 3 kali lafaz, pasangan ini telah selamat diijab kabulkan oleh bapa Leez sendiri dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Ustaz Muhamad Jalani Ahmad.

Majlis pernikahan yang dihadiri keluarga dan tetamu yang terdekat ini telah berlangsung di Masjid Salahuddin Al Ayubi, Taman Melati, KL.

Pihak lelaki memberikan 9 dulang hantaran dan dibalas dengan 11 dulang hantaran oleh pihak perempuan.

Mas kahwin bagi pernikahan pasangan ini berjumlah RM80 dan jumlah wang hantaran tidak diketahui kerana mereka bersetuju untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.