expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, July 25, 2014

ELLY MAZLEIN TETAP MEMBISU STATUS PERTUNANGANNYA


Pelakon Elly Mazlein masih lagi berteka-teki dan enggan mengulas mengenai status pertunangannya dengan Azmi Hatta, yang dikatakan sudah terputus sejak tahun lalu.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina, 34, berkata dia mengambil pendekatan tersebut agar tidak mahu mengeruhkan situasi yang telah dilaluinya dan akan memberi khabar gembira kepada semua pihak sekiranya dia bakal mendirikan rumah tangga kelak.

“Bila dah sampai masanya untuk berkahwin, saya akan menghebahkan berita gembira kepada semua.

“Saya tidak mahu bercerita besar di mana pada akhirnya saya mendapat malu kerana kegagalan perhubungan kami. Biarlah orang nak cakap sama ada kami berpisah atau tidak, saya akan menjelaskan perkara itu apabila tibanya masa nanti,” katanya kepada mStar Online.

Elly dan Azmi telah melangsungkan majlis pertunangan di Bukit Kiara Equestrian Resort pada 29 Mei 2011 dan sepatutnya pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Disember 2012.

Penangguhan perkahwinan mereka yang agak lama memberikan andaian bahawa pasangan itu mungkin telah memutuskan ikatan pertunangan mereka. Namun sehingga kini baik Elly mahupun Azmi enggan menjelaskan status perhubungan tersebut.

Dalam pada itu Elly berkata, jika dia berkahwin nanti dia enggan membuat majlis secara besar-besaran, tetapi cukup dengan mengadakan upacara akad nikah serta membuat jamuan makan secara sederhana memandangkan ibunya Sabariah Ahmad, 55, telah pun meninggal dunia pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Elly memberitahu, dia tetap ralat kerana tidak sempat menunaikan impian ibunya yang ingin melihat dia berkahwin.

“Memang saya sangat ralat kerana mama tidak sempat melihat saya berkahwin. Tetapi Mama tahu banyak perkara tentang perhubungan kami dan ada beberapa persiapan (kahwin) yang kami sudah batalkan.

“Apa yang penting sekarang ini saya hanya mahu fokus pada kerja dan menjaga Abah saya yang masih lagi sedih atas pemergian Mama,” ujarnya.